12.1.13

Just Peringatan Diri + Lovely Bloggers + etc



Bismillahi wal hamdulillah…


Nabi SAW pernah bersabda mafhumnya; Perkara yang paling aku bimbangkan ke atas kamu ialah syirik kecil. Bila ditanya apakah syirik kecil itu, baginda menjawab, ar-riya’.
Definisi riya’
Nabi menamakannya sebagai syirik kerana orang itu beramal bukan tulus untuk Allah, tetapi digandingkan dengan makhluk. Biasanya jika ditanya maksud riya’, rata-rata orang akan jawab; riya’ ialah menunjuk-nunjuk. Tapi saya lebih suka menggunakan takrif yang diberikan oleh ulamak. Maksud riya’ ialah (طلب الدنيا بعمل الأخرة) iaitu menuntut habuan dunia melalui amalan akhirat.
Secara umumnya amal yang dilakukan secara sembunyi lebih menjamin kesejahteraan ikhlas seseorang. Tapi ada amal yang kita perlu tunjukkan seperti solat berjamaah, jihad dan amar makruf. Bahkan kadangkala menzahirkan amal itu lebih dituntut sebagai menggalakkan orang lain beramal dan menjadi contoh teladan. Pastinya ganjaran besar diperolehi orang yang dicontohi, berbanding orang yang beramal secara sembunyi. Dengan syarat ikhlas…
Berbalik kepada takrif tadi. Habuan dunia seperti wang ringgit, harta, pangkat dan pujian manusia. Amalan akhirat seperti solat, sedekah, tilawah Al-Quran dan jihad (ibadat khusus). Maka sesiapa membaca Al-Quran supaya dipuji suara dan tajwidnya – riya’! Kalau bersedekah supaya disanjug orang – riya’! Itu semua orang tahu.
Aplikasi dalam hidup seharian
Bagaimana pula kalau seseorang itu begitu komited dengan kerjayanya supaya dinaikkan pangkat. Atau sentiasa berpakaian kemas supaya dipuji manusia. Adakah itu juga riya’? Jawapannya tidak, kerana kerja harian tidak termasuk dalam amal akhirat atau ibadat khusus di dalam takrif di atas.
Dibimbangi salah faham tentang riya’ ini mengikat dan mengongkong sebahagian umat Islam dari melonjak lebih dari sepatutnya dengan alasan; tak nak riya’!!
Bagaimana pula kalau kita beramal dengan ikhlas, tapi selepas itu manusia puji dan sanjung? Adakah ini merosakkan amal kita? Jawapannya tidak. Soalan ini pernah diajukan kepada Nabi SAW, baginda menjawab; itulah berita gembira yang didahulukan untuk orang beriman (di dunia ini lagi). Tapi perlu diingat, jangan sampai kita termakan dengan pujian tersebut sehingga mendabik dada dan angkuh… maka hancurlah amal tadi!
Habis tu, bolehlah orang yang rajin bekerja mengejar harta dan pangkat? Jawapannya, boleh dan tidak salah! Kerana bekerja dengan tekun dan rajin adalah tuntutan Islam, dan kerja harian itu tidak termasuk dalam ibadat khusus. Cuma, apabila dia mencapai kesempurnaan dalam kerja, mendapat harta dan pangkat serta sanjungan manusia; janganlah dia merasa bangga diri, bongkak dan angkuh serta memperlekehkan orang lain. Maka dosanya adalah atas rasa bangga diri, angkuh dan takabbur tadi. Bukan kerana komitmen dan kejayaan yang diperolehi.
Fudhail bin I’yadh berkata; meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan engkau dari kedua-duanya!
Faktor penggalak atau pendorong
Satu perkara lagi. Jika kita di surau, amat ringan untuk solat sunat rawatib contohnya. Tapi kalau di rumah, agak payah. Adakah ini bermaksud kita solat kerana manusia? Iaitu apabila ada orang kita solat sunat, tapi bila di rumah tak buat. Adakah kita riya’ juga? Jawapannya tidak. Kerana suasana di surau tersebut hanyalah sebagai penggalak dan pendorong sahaja kepada kita untuk beramal. Bukannya kita solat semata-mata kerana orang ramai keliling kita. Umpamanya, seorang di hadapan Kakbah. Pasti dia semangat beribadat, kerana suasana sekeliling amat memberangsangkan, berbeza dengan dalam rumah yang tiada rangsangan langsung!!
Kadang-kadang syaitan membisikkan kepada kita. Kononnya, kalau depan orang ramai jangan buat, nanti riya’! Atau, selama ini engkau jarang solat sunat, tapi bila kat surau rajin pulak! Tak payah buat la… Inilah was-was syaitan. Tumpukan kepada niat asal kita, iaitu solat kerana Allah. Bukan kerana orang lain. Syaitan memang kerjanya menyesatkan kita.
Semoga kita sentiasa ikhlas dalam amal dan terselamat dari tipu daya syaitan.
Wassalam.
Oleh: Ustaz Azzahar bin Abd. Aziz,Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia, 
ISMA Cawangan Seremban
Blog: Catatan Kehidupan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Animated Word Love Black
©All Rights Reserved ⓛⓘⓕⓔⓓⓘⓐⓡⓨ-{Nazry|Azuin}● blogspot ● com